Persekutuan Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Malaysia, Ermin D.M. Siow, berkata harga emas semasa adalah di antara US$1,650 satu auns dan boleh mencecah US$1,800 satu auns hari ini. 
"Sungguhpun ia sedikit rendah daripada harga pada 2011, yang melihat harga emas mencecah US$1,920 satu auns, ia masih stabil dan dijangka meningkat lebih tinggi," katanya kepada Bernama dalam satu temu ramah. 


Beliau menjangka harga emas akan mula meningkat menjelang akhir Februari atau awal Mac. 

"Terdapat pelbagai punca kepada perkara ini. Salah satunya ialah pelabur akan meningkatkan simpanan mereka untuk mengambil peluang daripada harga yang rendah, sebelum kerajaan India membuat apa-apa pengumuman mengenai duti import. 

"Memandangkan Hari Raya Cina akan disambut pada Februari, ramai peniaga akan mula membeli untuk meningkatkan inventori mereka yang akan mendorong permintaan fizikal untuk emas," katanya. 

Siow berkata selain membeli barangan kemas, pembeli juga membeli komoditi itu sebagai alat pelaburan. 
"Dengan ketidaktentuan dalam ekonomi global dan langkah oleh Bank Pusat untuk mengekalkan kadar faedah yang rendah, orang ramai tidak lagi menyimpan duit mereka di bank. 

"Mereka mula membeli emas sebagai pelaburan kerana peningkatannya baru-baru ini dan ia adalah cara yang paling selamat untuk mengelak inflasi," katanya. 

Siow, yang juga pengarah eksekutif Poh Kong Holdings Bhd, berkata emas untuk pelaburan menguasai hampir 40 peratus daripada permintaan dunia, berbanding kurang 20 peratus pada awal 2000. 

Mengenai kedudukan Poh Kong, beliau berkata peratusan pembeli yang mahu melabur berbanding memilih barangan kemas, telah meningkat sedikit. 

Oleh itu, beliau berkata Poh Kong juga menawarkan pelaburan dalam bentuk kepingan emas, bermula daripada satu gram hingga satu kilogram. 

Ditanya tentang perbezaan antara pelaburan emas menerusi peniaga emas dan menerusi bank, Siow berkata dari segi harga, bank mungkin memberi harga yang lebih berdaya saing. 

"Tetapi terdapat had dalam pembelian tunai dan waktu perniagaan juga terbatas. 
"Perniagaan emas seperti kami dibuka setiap hari sehingga 10 malam dan kami menawarkan skim pembayaran mudah. Ia juga adalah lebih mudah bagi pembeli untuk menjual semula kepada kami berbanding kepada bank," katanya. - BERNAMA